30 April 2010

Perjalanan juara tilawah al-Quran



SUASANA ruang tamu di salah sebuah kuarters kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Bangsar yang didiami oleh pasangan Fajuri Mamat, 43, dan isterinya Haniza. Abd Jalil, 42 agak hening seketika.
Sayup-sayup kedengaran suara seorang remaja lelaki sedang membaca ayat-ayat suci al-Quran dengan lagu yang merdu dan mengasyikkan.
Daripada raut wajah remaja itu jelas dia sedang khusyuk menyudahkan baris-baris akhir ayat-ayat yang tertera dalam kitab suci di hadapannya itu.
Bagaimanapun dia tidak berseorangan, seorang lelaki berkopiah putih berada bersamanya, meneliti setiap baris ayat yang dibacakannya sambil sesekali menganguk-anggukkan kepala.
Bagi Muhammad Thaqif, 13, atau lebih mesra dengan panggilan Thaqif itulah rutin hariannya sejak berusia lima tahun lagi.
Bapanya, Fajuri atau lebih dikenali sebagi Ustaz Fajuri di kalangan kakitangan TNB merupakan seorang pegawai agama dan guru pertama yang mengajarnya tentang al-Quran. Bermula daripada proses mengenal huruf sehinggalah beliau boleh membaca sambil bertaranum.
Menurut anak ketiga daripada tujuh beradik itu, proses tersebut tidak berlaku sekelip mata, sebaliknya memerlukan latihan selama bertahun-tahun, malah sehingga kini pun beliau masih belajar dan memperbaiki corak bacaan yang dilakukan.

FAJURI (kanan) akan memastikan anak-anaknya termasuk Thaqif membaca al-Quran sekurang-kurangnya satu muka selepas solat Subuh.


Kata Thaqif, antara perkara rutin yang sering dilakukan oleh mereka ialah wajib membaca sekurang-kurang satu muka al-Quran selepas solat Subuh.
"Sebagai guru, bapa seorang yang tegas, dia tidak akan berkompromi jika ada antara kami yang ingkar. Jika ada kesempatan, saya akan mengaji secara bersendirian di dalam bilik untuk memperbaiki bacaan dan memperbaiki kelemahan-kelemahan bacaan," katanya yang sudah khatam al-Quran lebih sepuluh kali.
Bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya, Bangsar itu memberitahu, beliau banyak didedahkan dengan bacaan al-Quran secara bertaranum berserta qiraat ketika keluarganya tinggal di Mesir beberapa tahun lalu.
Ketika itu, bapanya sedang melanjutkan pelajaran dalam pengajian Takhassus al-Quran wal-Qiraat di salah sebuah pusat pengajian tinggi Islam di sana.
Selain sering mengikuti pertandingan tilawah al-Quran, Thaqif juga sering dibawa ke Masjid Saidina Hussein tempat bapanya menjalani kuliah.
Tradisi masyarakat Mesir yang sering memanggil qari dan qariah terkemuka Mesir seperti Dr. Ahmad Naina dan Syaikh Mustaffa Ismail membaca al-Quran pada majlis-majlis rasmi atau upacara kematian menyebabkan Thaqif semakin berminat mendalami bidang taranum.
Sekembalinya keluarga Thaqif ke Malaysia, Thaqif mula berguru daripada bapanya di samping mendengar kaset bacaan qari dan qariah terkemuka pada waktu yang terluang.
Serlahkan bakat
Dari situ, bakatnya semakin teserlah dan dia mula didedahkan dengan pelbagai pertandingan tilawah al-Quran yang diadakan bermula di peringkat TNB, sekolah dan seterusnya mewakili Wilayah Persekutuan.
Antara kejayaan manis yang pernah dicapai ialah menjadi Johan Tilawah al-Quran Peringkat Sekolah-Sekolah Agama Wilayah Persekutuan (2007/2008); Johan Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan TNB bagi kategori kanak-kanak (2007/2009) dan Naib Johan Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2008.
Terbaru, kejayaan yang dicapainya ialah menjadi Johan Majlis Tadarus al-Quran Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan, KPM pada tahun 2009.


Mengambil juara Akademi al-Quran (AQ) musim pertama, Abdullah Fahmi Che Nor sebagai idolanya, Thaqif kini sedang melanjutkan pelajaran di Mahaad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat, Pulai Chondong, Kelantan. Thaqif juga berguru dengan Ustaz Yahya Daud dan Ustaz Muhyiddin Daud yang pakar dalam bidang berkenaan.
''Saya memasang impian untuk menjadi seorang tahfiz pada masa hadapan di samping ingin memperbaiki corak dan kaedah bacaan sekali gus berpeluang mewakili Malaysia di peringkat kejohanan tilawah antarabangsa suatu hari nanti," katanya yang terlibat sebagai qari jemputan khas dan berpeluang memperdengarkan bacaan al-Quran sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Putrajaya baru-baru ini.
Kini, Thaqif baru sahaja menghasilkan sebuah video cakera padat, Qari Emas: Bacaan al-Quran Bertaranum yang mengandungi beberapa surah yang dijual di pasaran.
Beliau memberitahu, mereka sekeluarga tidak pernah terlepas untuk menonton tilawah al-Quran yang disiarkan di kaca televisyen.
Pengalaman Thaqif turut dilalui oleh Siti Aisyah Baain, 13, yang merupakan pelajar Mahad Tahfiz Darul Ulum Al-Basriah, Kuantan.
Anak keempat daripada tujuh beradik itu memberitahu, dia mula membaca al-Quran pada umur lima tahun selepas mendapat tunjuk ajar daripada ayahnya, Baain Ali, 46, seorang pesara tentera.
Mahir taranum
Khatam al-Quran buat kali pertama ketika berusia lapan tahun, dia kemudian didedahkan dengan kaedah pembacaan secara bertaranum oleh ayahnya itu.
"Ketika itu saya didedahkan dengan pelbagai tilawah al-Quran di peringkat sekolah dan berjaya menjadi johan dalam beberapa kategori yang diadakan," katanya yang ditemui pada uji bakat program realiti AQ baru-baru ini.
Antara kejayaan tertinggi yang pernah dicapainya ialah menjadi Juara Tilawah al-Quran Angkatan Tentera Malaysia kategori kanak-kanak pada 2007.
Selain dibimbing oleh ayahnya, beliau turut mengikuti kelas yang dianjurkan oleh Johan Qariah Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa 2009, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd. Badiuzzaman ketika berusia 11 tahun.
Berguru hampir satu tahun, dia mengakui telah banyak mempelajari kaedah bertaranum yang betul di samping teknik suara dan nafas ketika ketika membaca al-Quran.
"Bertaranum memerlukan latihan yang berterusan di samping stamina yang tinggi, jika tidak belum habis ayat lagi sudah habis nafas," ujarnya yang turut belajar kiraat di samping Pensyarah al-Quran di Darul Quran, Mohd. Nazri Abdullah.
Siti Aisyah yang bercita-cita menjadi tahfiz dan qariah terkemuka suatu hari nanti meluangkan masa dua atau tiga jam berlatih secara bersendirian.
"Jika dahulu saya gugup ketika berhadapan dengan di khalayak ramai, kini berkat latihan yang diamalkan ia boleh dianggap alah biasa tegal biasa," katanya yang semakin mahir dan mampu menguasai empat daripada tujuh jenis taranum.

Marahilah Kanak-kanak Kerana Kasih Sayang

KANAK-KANAK adalah seperti kain putih dan mereka tiada dosa, mengapa? Sesungguhnya Allah tidak menghukum mereka yang tidak mengerti akan segala sesuatu.

Sesungguhnya kanak-kanak itu adalah ahli syurga. Marahilah mereka kerana kasih sayang tetapi elakkan memarahi mereka kerana benci (sakit hati dan dendam).

Jangan biarkan kanak-kanak membawa haluan mereka sendiri terutama di dalam masjid. Bimbing dan pimpinlah mereka di dalam peribadatan (program).

Fahamilah jiwa dan corak pemikiran kanak-kanak kerana pada mereka ada ilmu (diselitkan tarbiah dengan kasih sayang) – bagi mereka yang mahu berfikir.

Ambillah peranan di dalam mentarbiah kanak-kanak terutama di dalam masjid kerana pada kanak-kanak itu banyak malaikat bersama mereka (doa- Amin).

Kanak-kanak mampu menggembirakan nurani orang dewasa dengan telatah mereka, andai ada yang benci, itu petanda penyakit hati yang kronik (dengki, kianat, ujub).

Sumber : http://mstar.com.my

***************************************
Nota: Gambar kentang goreng, ayam goreng tiada kena-mengena dalam artikel ini...hehe ;)
Amna berusaha untuk menghabiskan kentang goreng yg ala-ala M** tuttt...

29 April 2010

Malaikat maut memerhati wajah manusia 70 kali dalam sehari

MEMANG tiada siapa pun dapat menduga bila saat kematian mereka akan tiba. Sebab itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan 'menanti' saat kematian mereka.
Allah berfirman yang bermaksud: "Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (Surah al-Anbiyak ayat 35)

BERSEMADI...alam barzakh menjadi tempat persemadian sebelum manusia dibangkitkan pada hari akhirat.
SEDIH...kematian adalah dugaan bagi menilai keimanan selepas berpisah dengan insan tersayang.

Tahukah kita bahawa malaikat maut sentiasa merenung serta melihat wajah seseorang itu 70 kali dalam sehari? Andainya manusia sedar hakikat itu, nescaya mereka tidak lalai mengingati mati.

Oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak dapat melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan malaikat Izrail.

Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail: 'Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok dan bergelak ketawa.'"

Justeru, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu lagi bergelak sakan dan bersenang-lenang seolah mereka tiada masalah yang perlu difikirkan dalam hidup.

Takdirnya esok hari terakhir Allah 'pinjamkan' nyawa kepada kita untuk bernafas di muka bumi ini adakah kita sudah cukup bekalan bagi menghadapi dua fasa berikutnya iaitu alam barzakh dan alam akhirat?

Tiada seorang pun di dunia ini dapat menggambarkan bagaimana perasaan dan pengalaman mereka menghadapi saat kematian.

Ajal tidak mengenal sesiapa sama ada mereka itu tua, muda, sihat, kaya atau miskin.

Rasulullah s.a.w juga menjelaskan dalam hadisnya bahawa kesakitan ketika hampir mati itu seperti ditetak 100 kali dengan pedang tajam atau seperti dikoyak kulitnya dari daging ketika hidup-hidup.

Bayangkanlah betapa sakit dan dahsyatnya saat menghadapi kematian.

Kalau hendak diikutkan siapa yang hendak nyawanya dicabut dalam keadaan yang amat menyeksakan.

Maka amat beruntunglah sesiapa yang matinya dalam keadaan khusnul khatimah (kebajikan).

Salman Al-Farisi meriwayatkan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: "Perhatikanlah tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu. Pertama: berpeluh pada pelipis pipinya; kedua: berlinang air matanya dan ketiga: lubang hidungnya kembang kempis.

"Manakala jika ia mengeruh seperti tercekik, air mukanya nampak gelap dan keruh dan mulutnya berbuih, menandakan menandakan azab Allah sedang menimpa dia." (Hadis riwayat Abdullah, al-Hakim dan at-Tarmizi)

Kematian 'menjemput' manusia secara perlahan-lahan atau beransur-ansur mulai daripada jasad, hujung kaki kemudian ke paha.

Bagi orang kafir pula, apabila nyawanya hendak dicabut Izrail, wajahnya akan menjadi gelap dan keruh dan dia mengeruh seperti binatang yang disembelih.

Itu pula tanda azab yang diterimanya disebabkan dosa dan kekufuran mereka.

Al-Qamah bin Abdullah meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Bahawa roh orang mukmin akan ditarik oleh Izrail dari jasadnya dengan perlahan-lahan dan bersopan sementara roh orang kafir pula akan direntap dengan kasar oleh malaikat maut bagaikan mencabut nyawa seekor khimar."

Allah juga turut menimpakan seorang Muslim yang berdosa itu dengan kekasaran ketika mereka menghembuskan nafasnya yang terakhir sebagai kaffarah dosanya.

Mungkin ada juga orang kafir yang mati dalam ketenangan mungkin kerana ketika hidupnya dia berbuat kebajikan dan itu adalah balasan terhadapnya kerana setiap kebajikan pasti akan dibalas.

Tetapi kerana tidak beriman, ia tidak menjadi pahala kebajikan dan kekufurannya tetap diazab pada hari akhirat kelak.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut.

"Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar.

"Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."

Malaikat Izrail menjalankan arahan Allah s.w.t dengan sempurna. Dia tidak diutuskan hanya untuk mencabut roh orang sakit saja ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka.

Kematian mungkin berlaku kerana sebab bencana seperti gempa bumi, banjir, kebakaran dan ada juga yang matinya disebabkan kemalangan, diserang penyakit berbahaya seperti kanser, jantung, Aids, denggi dan taun.

Seorang yang sedang sakit tenat, menjadi rahmat yang tinggi nilainya kerana Allah masih memberi peluang supaya mereka sedar akan kesilapan yang mereka lakukan selama hidup di dunia.

Maka waktu itu mereka masih berpeluang bertaubat dari dosa dan kesilapan. Begitu juga halnya dengan orang mati mengejut disebabkan kemalangan.
Ia memberi pengajaran dan peringatan kepada mereka yang masih hidup supaya berhati-hati dan tidak lalai berusaha untuk memperbaiki diri.

Justeru, bagi mereka yang masih diberikan nikmat kehidupan perlu sentiasa mengambil iktibar terhadap segala yang berlaku.

Allah menjadikan sebab kematian itu bagi memenuhi janji-Nya kepada malaikat maut.

Saidina Abbas meriwayatkan dalam sebuah hadis antara lain menerangkan malaikat Izrail berasa sedih apabila ditugaskan mencabut roh makhluk bernyawa.

Ini kerana antara makhluk bernyawa itu adalah termasuk manusia yang terdiri daripada kekasih Allah iaitu Rasul, nabi, wali dan orang soleh.

Malaikat maut mengadu kepada Allah betapa dirinya tidak disenangi keturunan Adam a.s.

Dia mungkin dicemuh kerana mencabut roh manusia yang mana menyebabkan orang berduka cita akibat kehilangan orang tersayang dalam hidup mereka.

Justeru, jika seseorang Muslim itu meninggal dunia, beberapa langkah penting perlu dilakukan seperti menempatkan jenazah di tempat yang sesuai sebagai menghormatinya, sunat meletakkan keadaan kakinya menghala ke arah kiblat, tanggalkan pakaian berjahit, tutupkan jenazah dengan sehelai kain nipis ke atas seluruh jasadnya, rapatkan kedua-dua belah matanya dan mulutnya, letakkan kedua-dua tangan jenazah di atas dadanya sebagaimana dalam keadaan qiam (berdiri) ketika solat, letakkan sesuatu yang sederhana berat di atas perutnya seperti gunting dan pisau serta sunat bagi yang hidup mencium jenazah.

Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Warisan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, berkata umat Islam dilarang mengaitkan kematian seorang Muslim itu dengan tanda tertentu.

"Itulah yang menyebabkan umat Islam semakin mundur kerana terlalu banyak mempercayai perkara khurafat dan tahyul.

"Jika ada kematian seperti kemalangan contohnya kita ditegah untuk bertanya kepada waris apakah perbuatan ganjil yang dilakukan sebelum kematiannya," katanya.

Dr Mahmood Zuhdi berkata tiada siapa pun dapat mengelak daripada mati melainkan Allah dan kematian tetap akan datang tepat pada masanya.

"Apabila sampai ajal seseorang, umat Islam digalakkan memberi nasihat kepada keluarga si mati supaya bertenang dan banyakkan bersabar.

"Islam menegah amalan keterlaluan seperti menjerit dan meratapi kematian," katanya.

Beliau berkata bagi mereka yang masih hidup peluang perlu dimanfaatkan dengan memperbaiki keadaan diri yang ternyata banyak melakukan kesilapan dan kesalahan.
"Tiada daya atau usaha yang boleh menyelamatkan kita daripada kematian.

"Kematian menjadikan hati manusia menjadi sedih serta berpisah dengan keluarga tercinta. Hanya amalan soleh saja akan membawa kita bertemu Allah," katanya. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...